Want to share this Foto on another web-site or blog?

Paste one of the following lines in to your site, blog or profile page..

Script:

HTML (for myspace, bebo etc):

BBCode (for message boards/forums):
[ View the Fotopage entry | View the complete Fotopage ]


Deretan bendera negeri-negeri Malaysia
Mail this Foto to a friend
Search BoardTracker for..
Deretan bendera



< Previous

Next >
[ View the Fotopage entry | View the complete Fotopage ]


Tuesday, 4-Jul-2006 12:47
Lembah Bujang
CERPEN LAMBAIAN BUJANGGHA

Mimpi adalah gugusan citrawara. Igauan malam yang mampu bermain-main dengan minda pada siang hari. Setiap malam mimpinya sama. Dua orang wanita memerah air manisan tebu dengan alat bulat ditolak kayu lalu dikumpulkan dan diserahkan kepada lelaki yang seakan buruh kasar menampal-nampal dinding dengan simen dicampur air manisan tebu. Juga upacara pemujaan diikuti restu menyimbah susu yang mengalir di corong halus, orang-orang berjalan di tengah kota yang gah dan molek seni binanya. Bayangan terakhir yang menggigit-gigit sanubarinya ialah gambaran seorang lelaki mengukir di atas batu. Wajah gerun di batu itu dibentuk dan dipahat. Bunyi pahatan itu memukul mukul gegendang telinganya. Bunyinya makin kuat hingga tidak daya ditahan Dewi lalu dia bangun menghentikan mimpi itu. Dirinya sudah sedia basah dek peluh memercik tak henti-henti. Dalam gelap dia memikirkan mimpi dialami sekian sebulan. Apakah maksudnya mimpi ini?

Ibunya pernah menceritakan tentang seorang lelaki yang hebat mengukir batu pada zaman kegemilangan Kedah Tua (Kataha). Lelaki inilah yang menjadi tunggak dalam senibina bangunan dan candi-candi di Lembah Bujang. Lelaki inilah pencetus revolusi. Lelaki inilah moyangnya. Sudah menjadi satu kelaziman untuk setiap ibu dalam generasi keluarganya untuk menyampaikan cerita yang serupa tentang kehebatan moyangnya ini. Memang sejak kecil, cerita inilah yang diminta diulang-ulangkan dan dia akan mendengar tanpa jemu. Bukan suatu yang lazim untuk cerita berkenaan moyang 900 tahun dahulu diabadikan dalam sesebuah keluarga. Dewi bangga.

Mimpi itu tetap mengganggu mindanya seperti malam-malam sebelumnya. Kali ini Dewi memasang nekad untuk melawat Lembah Bujang di Kedah.

“Aku harus pergi!” bisik hati Dewi.

Perjalanan ke Lembah Bujang tidak sukar. Memandu dari Pulau Pinang hanya mengambil masa sejam setengah. Perjalanan yang didorong peta dan papan tanda yang jelas membantu Dewi untuk sampai ke destinasi. Ketibaannya disambut bangunan Muzium Arkeologi Lembah Bujang yang diselubungi suasana sunyi. Di tempat letak kereta terdapat deretan bendera negeri-negeri Malaysia. Dewi bergegas ke arah muzium. Di dalam bangunan itu kelihatan beberapa batu bersurat bertulisan Sanskrit, patung-patung Buddha pelbagai posisi, arca Dewa Ganesha, Dewi Durga dan banyak lagi arca yang kurang menarik perhatiannya. Dia harus mencari satu monumen yang diukir lelaki dalam mimpinya itu. Di luar, dia melihat lesung-lesung batu. Satu bongkah batu yang seakan dalam mimpinya menarik matanya. Letaknya berdekatan dengan alas tiang milik Raja Bersiong. Berdegup kencang jantung Dewi apabila membaca deskripsi bongkah itu. ALAT MEMERAH MANISAN TEBU. Wah, seakan mimpinya! Dia meneruskan pencarian di sekitarnya. Satu tiang berwajah menakutkan terbaring di atas tempat pameran. Inilah tiang yang diukir moyangnya yang digambarkan dalam mimpinya! Sungguhpun kesan perubahan zaman sudah kelihatan, masih jelas wajah bermata menyinga dan lidah terjelir seolah-olah mengusir dirinya jauh daripada monument itu. Dia kagum dengan illustrasi yang berkesan dilorek moyangnya yang bisa mengacau perasaan si penonton. Dia menyentuh setiap inci monument itu dengan harapan. Harapan mendapatkan jawapan.

Kalau diikutkan filem, waktu inilah cahaya akan terpancar diikuti kehadiran moyangnya yang menyuarakan rasa kagum dan bangga akan kesudian Dewi mencari sejarah keluarganya. Mungkin juga waktu inilah moyangnya akan memberitahu lokasi harta pusaka yang tertanam di sekitar supaya Dewi dan keluarganya dapat hidup mewah. Tetapi itu tidak berlaku dalam realiti kehidupan Dewi. Jadi, setelah jumpa bongkah yang kononnya diukir moyangnya, apakah mesej yang cuba disampaikan?

Untuk mencari jawapan, Dewi berjalan ke candi-candi. Kelihatan di setiap candi terdapat corong halus yang dahulunya mengalirkan susu untuk restu selepas sembahyang cara Hindu dipanggil yoni. Kebanyakan candi mempunyai dua ruang dipanggil mandapa iaitu ruang untuk pengunjung candi Hindu ini manakala vimana adalah tempat untuk sami-sami. Semua candi-candi akan mengadap ke arah matahari terbit. Waktu ini, kepala Dewi sudah pening. Tidak diketahui tujuan dia ke sini.

Dia pulang dengan kecewa. Tidaklah terlalu hampa kerana sekurang-kurangnya dia belajar beberapa perkaaan Sanskrit:

Bujanggha: naga
Upawita:ular
Padmasana: cara duduk bersila orang India selatan dan Sri Lanka (posisi arca Buddha)

Malam itu, dia terbaring dalam gelap memikirkan kemungkinan dia akan mengalami mimpi yang sama sebelum berkunjung ke Lembah Bujang. Atau mungkinkah akan muncul moyangnya membawa berita dan cerita. Matanya dikatup perlahan lahan. Kepenatan seharian berjalan memudahkannya lena. Biarkan persoalan itu tidak terjawab, Dewi ingin lena diulit mimpi.

Mimpi adalah gugusan citrawara. Citrawara yang penuh dengan maksud yang harus ditafsirkan. Mimpinya malam itu berbeza daripada mimpi sebelumnya. Mimpinya kali ini membawa citrawara kehidupan setiap generasi keluarganya bak sebuah pancaran filem secara menerus dengan babak-babak berbeza. Bermula dengan kisah pengukir candi yang melarikan diri setelah Kataha diserang Raja Rajendra 1, diikuti kisah moyangnya bernama Indra dituduh pembelot memberi maklumat kepada Portugis menggantikan tempat Ninacattu, kekejaman Jepun merogol wanita-wanita keluarganya berakhir dengan drama kehidupan ayah dan ibunya. Tahulah dia, pelbagai rintangan kehidupan berbentuk kemiskinan, penindasan, pembelotan, penipuan, mangsa birokrasi, dan segala yang perit dan payah ditanggung keluarganya.

Dewi bangkit dari lena. Dia tidak berpeluh, dia juga tidak mengeluh tetapi dia terjaga dengan penuh ilham. Kini dia sudah mengerti maksud mimpi-mimpi pelik yang dialamii dan panggilan Lembah Bujang yang melambai-lambai. Dia mencatit:

1. Indra bukan pembelot bangsa!

2. Melaka pernah menawan Portugal namun maklumat itu dikaburi oleh penjahat orang putih.

3. Penting bagi setiap generasi untuk mengetahui salasilah keluarga dan menghargai kehidupan nenek moyang terdahulu.

4. Nilai peradaban berbentuk budaya bangsa harus dipertahankan agar tidak ditelan zaman

5. Rintangan dihadapi keluargaku menjadikan kami tak cepat melatah hadapi dugaan kehidupan. Pasti kekuatan itu mengalir dalam darahku

Dewi sedar adalah tanggungjawab bagi mereka yang celik untuk mengubah keadaan keluarga. Mereka ini jugalah yang berperanan membangunkan dan membela nasib bangsa. Dia yakin dirinya terpilih dan layak dianggap celik. Cuma satu persoalan mula mengancam semangat sosialisme Dewi “Sudahkan aku bersedia?”



Dewi

© Pidgin Technologies Ltd. 2008.